Thursday, 11 February 2010

Kritikan dan Pandangan : Adakah ini BACUL dan PENGECUT ?

Oleh : panerai


Saya selalu bertanya, adakah Pandangan dan Kritikan itu berbeza? Mengapakah perkataan Kritikan itu sering disalah ertikan niatnya. Mengapakah Kritikan sering kali diingati sebagai sesuatu yang sangat negatif dan menjatuhkan seseorang. Fonemena kritikan sebagai satu perkara yang hitam ini saya dapat lihat sewaktu saya menjadi mahasiswa. Apabila saya melontarkan ”kritikan”, saya sering dituduh sebagai pengecut dan bacul. Saya mengkritik atas kefahaman saya dan niat saya untuk membantu kerana saya tidak berada di posisi yang untuk membuat perubahan.


Sering saya alami, mereka yang berada di posisi untuk membuat perubahan amat meluat dengan idea dan pendapat saya. Maka keluarlah pelbagai tohmahan dan ayat – ayat benci menyatakan saya ini pengecut, hanya tahu menyalak umpama anjing tidak dapat tulang. Ada juga diantara mereka secara baik menyatakan yang saya tidak memahami situasi sebenar ”mereka”, banyak perkara perlu difikirkan dan dibuat.

”Anda tidak faham situasi kami, Jangan hanya pandai berkata-kata, Masuklah bertanding dan buat perubahan”

Berdasarkan ayat diatas saya ingin mengulas beberapa perkara yang saya kira kalian semua pembaca dan pemimpin mahasiswa harus pertimbangkan.


Kenapa kita perlu berada diposisi yang sepatutnya untuk membuat perubahan?

Adakah saya sebagai pelajar (ketika itu) tidak boleh bersuara jika tidak berkuasa?

Saya tidak nafikan, apabila seseorang itu berada di posisi khas untuk membuat perubahan, maka lebih mudah dan lebih pantas. Untuk melaksanakan perubahan, penambahbaikan pemimpin itu perlukan ilmu. Dengan ilmu dan kuasa maka semua yang diharapkan dapat berhasil (InsyaAllah). Ilmu itu luas dan tidak pernah cukup untuk manusia memilikinya. Saya ingin bertanya,

Adakah apabila kamu dilantik sebagai pemimpin, secara otomatiknya kamu memiliki ilmu memerintah, ilmu mentadbir dan segala jenis ilmu, sehinggakan kamu tidak perlu mendengar pandangan orang lain?

Busuk sangatkah pandangan dan kritikan orang luar organisasi kamu untuk kamu nilai dan mudahnya kamu mengandaikan mereka hanya menyalak, menarik perhatian, kecewa, dengki dan hasut?

Mereka yang mengkritik memang wujud pelbagai tujuan. Ada yang baik dan ada yang buruk niatnya. Saya tidak boleh menjamin semua kritikan itu berniat membantu. Apa yang saya boleh katakan, ada segelintir yang berniat baik, dan mereka harus diberi perhatian dan sambutan oleh para pemimpin.


Maka moleklah jika pemimpin merendahkan diri untuk melayan mereka. Mungkin ada diantara idea dan pandangan tersebut boleh kalian ambil dan laksanakan. Idea – idea ini mungkin radikal dan jauh dari kemampuan diri. Tetapi ia masih idea dan MAMPU dicapai. Saya kira, idea – idea ini juga boleh membantu pemimpin – pemimpin meningkatkan kekuatan pentadbiran mereka, meraih lebih banyak sokongan pelajar kepada mereka, mencapai lebih banyak kejayaan.

Atas isu inilah, saya tergerak untuk menghasilkan artikel ini. Lama telah berlaku, tiada sebarang perubahan. Konsep ”Jangan Dengar Kritikan – Kritikan dari media alternatif ini” sudah berakar umbi dan menusuk dalam di dalam perawakan pemimpin – pemimpin di UNITEN kita. Mereka hanya ingin mendengar pandangan dalam bentuk paling tradisional, Borang Aduan dan Maklum Balas. Itu lah yang sah bagi mereka.


Wahai pemimpin di UNITEN, Janganlah kamu menghadkan kemampuan kamu. Janganlah kamu letakkan diri kamu sebagai tradisionalis. Janganlah kamu terkongkong dengan amalan – amalan yang telah lama dilaksanakan.

Pelbagaikan medium membuat aduan, menyampai kritikan, meluaskan pandangan. Selepas itu dengar mereka, beri perhatian kepada mereka. Selalu tanya diri, apakah yang kami masih kurang perjuangkan sehingga kami dikritik. Jangan lar melatah. Jadikan diri professional. Kumpulkan bijak pandai yang kamu ada untuk membantu kamu dan jangan bodohkan diri sendiri dengan mengangap orang lain bodoh.

DENGAR MEREKA, SELAMI HASRAT MEREKA, FAHAMI IDEA MEREKA.

No comments:

 
^ Scroll to Top