Saturday 27 March 2010

Uniten raih Anugerah Kecemerlangan PM 2009

Oleh Azli Ayob dan Zanariah Abd Mutalib
azliayob@bharian.com.my 
2010/03/26
Daya tahan hadapi cabaran perniagaan antara faktor kemenangan 

UNIVERSITI Tenaga Nasional Sdn Bhd (Uniten) dipilih sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Perdana Menteri 2009, anugerah tertinggi yang mengiktiraf kecemerlangan syarikat tempatan dari segi pengeluaran, penembusan pasaran luar negara, kualiti dan penjenamaan.

Uniten yang juga anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB) dipilih sebagai penerima anugerah itu kerana kecemerlangannya dalam menjalankan perniagaan, meningkatkan daya saing, inovatif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat keseluruhan. Daya tahan yang kuat pengendali universiti itu dalam menghadapi pelbagai cabaran perniagaan turut menjadi faktor kemenangannya. 

Selain anugerah Perdana Menteri, Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) kali ke-19 itu menyaksikan enam kategori lain dipertandingkan iaitu Anugerah Kecemerlangan Produk, Anugerah Kecemerlangan Eksport (Dagangan), Anugerah Kecemerlangan Eksport (Perkhid-matan), Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kualiti, Anugerah Kecemerlangan Jenama (Dagangan) dan Anugerah Kecemerlangan Jenama Perkhidmatan. 


Anugerah Kecemerlangan Produk dimenangi Zentretech Resources Sdn Bhd, Hexa Analisa Sdn Bhd, Hyrax Oil Sdn Bhd dan Alami Vegetable Oil Products Sdn Bhd manakala pemenang Anugerah Kecemerlangan Eksport (Perkhidmatan) ialah Minconsult Sdn Bhd, Sunway Education Group Sdn Bhd, Eversendai Corporation Sdn Bhd, Inspidea Sdn Bhd dan Scicom MSC Sdn Bhd. 


Bagi Anugerah Kecemerlangan Jenama (Dagangan), ia dimenangi Coffeeland Sdn Bhd, Cranberry (M) Sdn Bhd, Joven Electric Co Sdn Bhd dan Power Root (M) Sdn Bhd. 


Pengerusi Lembaga Pengarah Uniten, Tan Sri Leo Moggie menerima anugerah itu daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamad yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada majlis penganugerahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi. 


Turut hadir, Pengerusi Anugerah Kecemerlangan itu, Tan Sri Azman Hashim; Timbalan Menteri Miti, Datuk Jacob Dungau Sagan dan Ketua Setiausaha Miti, Tan Sri Abdul Rahman Mamat. 


Syarikat penerima anugerah itu akan menikmati pengecualian cukai dan kebenaran menggunakan logo AKI selama tiga tahun bagi tujuan publisiti, manakala profil mereka akan dipaparkan dalam laman web Miti, MPC, Matrade dan Sirim. 


Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya yang dibacakan Mustapa pada majlis itu berkata, peserta industri perlu sentiasa bersedia dan menguatkan diri menghadapi kemungkinan pelbagai cabaran dalam persekitaran ekonomi yang mencabar menerusi peningkatan produktiviti selain menjadi lebih inovasi dan kreatif. 


Langkah itu, katanya, adalah penting memandangkan peserta industri antara tonggak utama ekonomi negara. 
“Kemajuan kita sebagai negara perdagangan terletak kepada keupayaan mengembangkan ekonomi. Kita adalah negara perdagangan, dan ini bermakna kita mesti berupaya menjual barangan dan perkhidmatan di pasaran antarabangsa. Jika berjaya melakukannya dengan jayanya, ekonomi kita akan berkembang dan semua pihak berpeluang menikmatinya,” katanya. 


Najib turut menggesa peserta industri yang memainkan peranan penting dalam ekonomi meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa bagi menghadapi saingan global yang semakin sengit. 

Wednesday 24 March 2010

Perjuangan Mahasiswa Harus Terus Berprinsip

Falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai masyarakat terpelajar, juga fungsi mereka sebagai rakyat dewasa serta situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada pergolakan dunia semasa – Prof Mohamad Abu Bakar

Sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu yang timbul khususnya isu yang sering menjadi bualan politik segenap masyarakat di Malaysia. Sebagai gabungan koalasi anak muda dan mahasiswa seluruh negara, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga tidak mahu ketinggalan. 

Berperanan sebagai sebuah koalasi yang menggabungkan pelbagai front mahasiswa dan anak muda, SMM sememangnya harus lebih peka dan responsif dengan setiap isu yang bangkit. Sebagai salah seorang pimpinan dalam SMM, saya turut berasa bertanggungjawab untuk memberi pandangan dan menyatakan pendirian secara peribadi dan yang lebih penting pendirian SMM sebagai platform yang mewakili sebahagian besar anak muda dan mahasiswa.

Walau bagaimanapun, sedikit kekecewaan terasa kerana kurangnya pemahaman masyarakat tentang peranan yang harus dijalankan oleh mahasiswa atau anak muda. Salah tafsir juga sering berlaku kepada perjuangan yang dibawa oleh mahasiswa dan anak muda. Kaitan dan tuduhan bahawa kumpulan mahasiswa ini di dalangi oleh parti oposisi adalah perkara biasa yang sering dimomok oleh pemerintah.

Tidak dapat dinafikan bahawa mahasiswa juga anak muda mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendukung mana-mana pihak yang menolak tindakan pemerintah. Anak muda dan mahasiswa lebih cenderung untuk mendukung parti oposisi dan menolak pemerintah yang dilihat zalim, mengongkong dan authoritarian. Situasi dan keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di Indonesia, Korea dan kebanyakan negara lain.

Konsep kebebasan, keadilan, hak asasi, demokrasi, dan reformasi adalah inspirasi kepada mahasiswa dalam pelbagai jenis persekitaran dan suasana. Hal ini diterangkan oleh Prof. Mohamad Abu Bakar dalam artikel Falsafah Perjuangan Mahasiswa, Majalah sulung Ilmu Masyarakat, terbitan Persatuan Sains Sosial Malaysia sekitar tahun 70 an.

Mahasiswa dan anak muda adalah sebahagian daripada masyarakat sivil yang berperanan untuk menyuarakan soal hak, kebajikan serta kesusahan masyarakat. Berpegang pada prinsip demokrasi, hak asasi dan keadilan sosial adalah tunjang kepada idealisme dan perjuangan mahasiswa dan anak muda.

Ini kerana mahasiswa dan anak muda adalah kumpulan yang tidak mempunyai kepentingan dan sebarang tanggungjawab dalam parti politik. Maka tidak ada sebarang sebab untuk anak muda juga mahasiswa ini mempertahankan mana-mana parti atau pihak yang tidak berpegang kepada prinsip-prinsip yang seharusnya mereka pertahankan.

Sememangnya, mahasiswa sering dimomokkan sebagai alat parti oposisi bagi menentang parti pemerintah. Mengapa ini berlaku? 

Hal ini kerana idea-idea reformasi, demokrasi, kebebasan bersuara, berhimpun, hak asasi dan penolakan kepada segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa yang dibawa oleh parti oposisi adalah lebih dekat dengan prinsip yang dipegang oleh mahasiswa dan anak muda. Mahasiswa menolak pemerintah kerana kegagalan mereka mempertahankan prinsip dan tindakan mereka seringkali berkontradik dengan prinsip yang dipegang oleh mahasiswa.

Selain itu, menurut Prof. Norman Cantor, “students wanted to enshrine the individual and to tear down giant institutions to return to humanism”. Hal ini adalah antara sebab mengapa tindakan mahasiswa sering dilihat sebagai anti kepada pemerintah. 

Begitu juga menurut pandangan Robert Liebert tentang mahasiswa;“he is subjected to what has been described as the subversive function of the university: to expose, interrelate, and ultimately question the foundations of the society”. 

Situasi kini juga sudah berbeda selepas 8 Mac apabila beberapa negeri ditawan oleh parti oposisi dan kini berkerajaan. Mahasiswa sebagai salah satu agen semak dan imbang harus tetap memainkan peranannya untuk mengawal tindakan pemerintah yang dulunya sebagai barisan oposisi. Lalu, apabila mereka tidak mempertahankan apa yang mereka perjuangkan dahulu, kritikan dan kecaman daripada mahasiswa itu adalah perkara biasa yang harus diterima secara sihat.

Sebaliknya,kesedihan hari ini adalah apabila perjuangan mahasiswa sering dikecam sebagai tidak berpendirian atau ‘lalang’ kerana turut tidak bersetuju dan bertindak menentang tindakan parti oposisi. Hal ini adalah sangat kritikal kerana perjuangan ini turut diheret ke dalam kancah siyasah kepartian.

Mungkin juga hal ini terjadi kerana momokan bahawa mahasiswa ini diperalatkan oleh parti oposisi. Maka hari ini apabila mahasiswa mengecam beberapa tindakan parti oposisi maka masyarakat terus menilai bahawa mahasiswa sebagai tidak berpendirian. Tidak kurang juga dengan peranan media yang merancakkan isu seolah-olah mahasiswa sudah hilang kepercayaan kepada parti oposisi.

Mahasiswa sebagai golongan anak muda yang terpelajar harus terus menjalankan peranan sebagai badan semak dan imbang kepada semua pihak khususnya pihak kerajaan bagi membangunkan negara Malaysia sebagai negara yang ideal. 

Mahasiswa harus terus mempertahankan prinsip yang disepakati bersama terutama dalam soal demokrasi, hak asasi dan kebebasan. Ini adalah perkara asas yang seharusnya dipertahankan oleh seluruh masyarakat lebih-lebih lagi pihak kerajaan. Mahasiswa juga harus terus dan tidak tinggal untuk bertindak sebagai suara masyarakat.


Friday 5 March 2010

Kes Keracunan Makanan di UNITEN




Semalam, saya sempat bersembang dengan seorang rakan semasa berada di UPTEN. Beliau mengadu mengalami keracunan makanan, yang dimakan di kafe MPH. Kalau tidak silap, beliau beli makanan tersebut ketika waktu pagi untuk bersarapan. Hari ini, seorang lagi pelajar UNITEN memberitahu saya bahawa beliau telah mengalami keracunan makanan pada hari sabtu minggu lepas. Kesannya, beliau terpaksa mengambil cuti berehat di rumah sehingga ke hari ini serta terlepas ujian-ujian untuk 3 subjek.

Tempoh masa antara dua contoh kes keracunan makanan ialah lima hari. Bayangkan, berapa ramai kes keracunan yang berkemungkinan berlaku dalam masa lima hari ini. Saya amat terkilan kerana pihak kafe MPH tidak teliti dalam penyediaan makanan untuk tujuan jualan. Saya berharap agar sesiapa sahaja yang mengetahui rakan-rakan yang turut mengalami keracunan makanan, boleh tampil ke hadapan untuk membuat laporan kepada pihak HEP, kelompok Cendekiawan atau mana-mana saluran yang dirasakan sesuai.

Kita sebagai pelajar wajar prihatin dengan kes seperti ini kerana makanan yang tidak berkualiti akan menjejaskan kesihatan pelajar, seterusnya memberi kesan terhadap prestasi akademik dan motivasi seseorang pelajar. Kes seperti ini semestinya menjadi iktibar kepada semua penjaja makanan dan kedai makan di UNITEN. Kualiti makanan diutamakan, disamping untuk memperoleh keuntungan.

Tuesday 2 March 2010

Forum: Universiti Diliwat





Forum: Universiti Diliwat



Tarikh: 4 mac (khamis)
Masa: 8mlm- 10 mlm
Tempat: Chinese Assembly Hall, KL
Panelis:
1) Hisyamuddin Rais
2) Prof Azmi


Anjuran: GAMIS
 
^ Scroll to Top