Thursday 15 October 2009

Rakyat jangan terpukau pemberian kecil pembangkang: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan rakyat agar tidak terpesona dengan pemberian tidak seberapa pembangkang sehingga lupa jumlah RM22 bilion yang diperuntuk kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membiayai pelbagai subsidi dan insentif tahun ini. 

Perdana Menteri berkata sejak puluhan tahun kerajaan yang diterajui Umno telah mengambil pelbagai inisiatif dengan memberikan subsidi, insentif dan bantuan bagi meringankan beban rakyat.


"Dari itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpukau dengan pihak pembangkang semata-mata kerana air percuma dan sedikit kenaikan elaun. Setidak-tidaknya ingatlah sedikit akan jasa-jasa kerajaan pimpinan Umno yang telah berbudi selama puluhan tahun. 

"Kata orang janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan," kata Presiden Umno itu dalam ucapan dasar sulung beliau pada perhimpunan agung parti di sini.
 

Sedar atau tidak, kata beliau, sudah banyak yang kerajaan lakukan demi kesejahteraan rakyat.

"Misalnya di bawah sektor pengangkutan dan tenaga, kerajaan telahpun menyediakan subsidi sebanyak RM9 bilion untuk petrol, LPG dan diesel, RM2 bilion untuk program rebat tunai, lebih RM600 juta untuk pampasan tol, RM150 juta untuk kadar elektrik dan RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur," katanya. 

Najib berkata kesemua itu membuktikan kerajaan bukan saja prihatin dan empati dengan keadaan penduduk di luar bandar tetapi juga mereka yang di kota kerana masih ada yang hidup ''kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang''.
 

"Pokoknya rakyat berasa lega bahawa mereka tidak sendirian dalam keluh kesah tentang makan pakai, kos sewa rumah mereka, susu dan kain lampin anak, membawa kepada perbelanjaan pengangkutan seharian yang ditanggung," katanya.
 

Di bawah sektor pertanian dan makanan pula kata Najib, kerajaan memperuntukkan hampir RM600 juta untuk subsidi padi, RM400 juta (beras), RM275 juta (baja), RM210 juta untuk tepung gandum, dan RM89 juta untuk roti.

Bagi pendidikan generasi masa depan, Najib berkata sejumlah RM2 bilion telah diagih dalam bentuk bantuan kepada pelajar sekolah khususnya di bawah projek pelajar miskin, RM411 juta untuk bantuan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), RM374 juta untuk guru dan penyelia kelas agama dan fardu ain (Kafa), elaun guru takmir termasuk elaun imam serta ketua-ketua kampung. 

Selain itu, katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan RM159 juta untuk kanak-kanak prasekolah dan RM36 juta untuk masyarakat orang asli.
 

Kerajaan juga, kata Najib, tidak lupa golongan keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga emas apabila memperuntukkan RM850 juta sebagai peruntukan untuk menyediakan jaringan keselamatan kepada mereka.
 

"Selain itu, dari November 1997 hingga Ogos 2009, kerajaan melalui PTPTN telah mengeluarkan lebih RM19 bilion kepada 1.4 juta peminjam terdiri daripada pelajar IPTA dan IPTS dengan ujarah yang sangat rendah.
 

"Bersyukurlah kita atas semuanya ini,"
katanya. - Bernama



Sumber:



Bagi yang dapat PTPTN kat UNITEN, ada apa-apa komen? kahkahkah...

1 comment:

aku rakyat selangor said...

nasihat kepada semua pemimpin negara...

dua ciri-ciri utama yang mesti dimiliki setiap orang pemimpin, iaitu:
1)Mempunyai kemampuan dari segi pengurusan dan kepimpinan
2)Mempunyai integriti, dengan makna lain amanah dan bertanggungjawab dengan apa jua tindakan yang diambil.

komen: tidak kira kerajaan BN atau PR, kedua-duanya mesti menjalankan amanah mengikut kekuasaan yang dimiliki. Bidang kuasa di peringkat negeri adalah terhad jika dibandingkan di peringkat pusat. Mengikut pertimbangan semasa, kerajaan PR di Selangor telah menjalankan amanah dengan sebaiknya bila mana mereka telah meringankan sedikit beban rakyat melalui bekalan air percuma.
Namun Rakyat malaysia, khususnya rakyat di selangor sedang menunggu tindakan dari kerajaan pusat untuk memansuhkan terus pembayaran tol-tol di lebuh raya.

 
^ Scroll to Top