Sunday 13 September 2009

Definisi Melayu: Dari Sudut Sosio-Budaya Masyarakat

Bersambung lagi di dalam artikel yang membincangkan mengenai definisi Melayu. Jika definisi melayu dalam artikel lepas ditakrifkan dari sudut perlembagaan, definisi Melayu pada kali ini akan ditakrifkan dari sudut sosio-budaya masyarakat pula.

Secara umumnya, masyarakat Melayu merujuk kepada masyarakat yang hidup di sekitar nusantara, iaitu meliputi sebahagian besar tanah di asia tenggara. Negara-negara yang termasuk dalam kawasan Asia Tenggara ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand, Vietnam, Mynmar, Laos dan Kemboja. Sejak sebelum kedatangan para penjajah asing ke benua Melayu, penduduk di nusantara telah berhijrah dari satu tempat ke tempat dalam lingkungan nusantara. Buktinya, terdapat masyarakat yang mempunyai rupa mirip dengan orang melayu serta berkulit sawo matang di hampir setiap negara dalam Asia Tenggara. Di Vietnam dan Mynmar terdapat Orang Melayu Champa. Di Thailand, orang Melayu majoriti menetap di selatan Thai. Di Filipina, Bangsa Moro menetap di selatan Mindanao. Bagi negara yang penduduk majoriti peribumi seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei orang Melayu merupakan masyarakat dominan dari segi jumlah disamping terdapat suku etnik peribumi yang lain. Turut tidak ketinggalan negara yang mempunyai minoriti Melayu seperti Singapura, penduduk asalnya juga adalah Melayu walaupun kita tahu komposisi penduduk mengikut bangsa di Singapura berubah mendadak selepas kedatangan penjajah British ke alam Melayu.



Kawasan Asia Tenggara

Kewujudan Kerajaan-kerajaan pra-Islam dan pasca-Islam turut menguatkan lagi teori bahawa definisi Melayu adalah masyarakat yang menetap di sekitar kawasan nusantara. Sebagai contoh, Kerajaan tua Melayu Funan yang bertapak sebahagian di Vietnam dan sebahagian lagi di Mynmar merupakan contoh masyarakat Melayu yang terawal membentuk sistem bermasyarakat sistematik di alam Melayu. Kemudian disusuli dengan kewujudan kerajaan Langkasuka di Semenanjung Melayu. Di Sumatera pula, terdapat kerajaan Srivijiya. Kerajaan Majapahit pula muncul di Jawa. Walaubagaimanapun, definisi Melayu pada era pemerintahan kerajaan pra-Islam ini agak kabur dan tidak jelas. Hanya selepas proses pengislaman secara rasmi bermula dari peringkat Raja sehingga turun ke rakyat bawahan, barulah definisi Melayu kelihatan jelas. Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat para sarjana bidang sejarah Asia Tenggara mengatakan bahawa bangsa Melayu sebenarnya adalah merujuk kepada penduduk nusantara yang beragama Islam.

Definisi Melayu yang lebih tepat berdasarkan kepada bukti sejarah lalu, ialah berdasarkan kepada faktor pegangan agama iaitu Islam. Bukti sejarah ini boleh dilihat dari segi persamaan yang wujud pada masyarakat antara Malaysia dan Indonesia. Kerajaan Islam Acheh di Sumatera Indonesia yang wujud selepas kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511, mempunyai budaya dan cara hidup lebih mirip kepada masyarakat Melayu di negeri Perak, Tanah Melayu berbanding dengan masyarakat di Pulau Jawa Indonesia. Sama juga keadaan yang berlaku di negeri Johor,Tanah Melayu dan wilayah Riau di Indonesia. Masyarakat di kedua-dua tempat berkongsi bahasa pertuturan dialek yang hampir serupa dan cara hidup dalam bermasyarakat mempunyai banyak persamaan, iaitu kebudayaan Melayu. Masyarakat Jawa, salah satu suku terbesar dalam masyarakat nusantara bukan sahaja terdapat di Pulau Jawa, Indonesia malah turut mempunyai waris keturunan di hampir setiap negeri dalam Malaysia; Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, dan juga di negara lain seperti di Singapura. Juga kepada suku Melayu Bugis yang berasal dari Pulau Sulawesi, timur Indonesia terkenal sebagai pelayar yang gagah di lautan suatu masa dahulu, turut mempunyai keturunan di hampir setiap negeri dalam Malaysia seperti mana bertebarnya suku Melayu Jawa. Persamaan yang ada pada semua bangsa Melayu di kebanyakan kawasan nusantara ialah musuh utama mereka adalah penjajah asing yang beragama Kristian. Walaupun masyarakat nusantara yang bersuku-suku ini hidup dalam kawasan Asia Tenggara serta menghadapi cabaran dari sudut risiko akidah, tetapi mereka masih utuh mengekalkan akidah sebagai seorang muslim. Oleh sebab itu, umumnya mereka dikenali sebagai bangsa Melayu kerana pegangan Islam yang kukuh sejak dahulu sehingga kini.

Fakta yang kita mesti ketahui, walaupun masyarakat Melayu di Vietnam, Mynmar, Singapura, Thailand dan Filipina berada dalam negara majoriti penduduk bukan beragama Islam, namun mereka masih mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Maka makin kukuhlah definisi Melayu menurut faktor beragama Islam. Sebagai akhir kata, nama Melayu diambil sempena nama salah satu suku yang terdapat di nusantara serta berkomposisi tidak sampai 20%. Kedudukan suku Melayu sama seperti suku-suku lain iaitu Jawa, Bugis, Minangkabau dan Banjar. Cumanya istilah ‘Melayu’ telah diambil serta digunakan untuk merujuk kepada penduduk di nusantara, dan ia juga adalah ‘re-branding’ nama kepada masyarakat Islam di nusantara secara amnya.

No comments:

 
^ Scroll to Top