Sunday, 1 November 2009

Tahniah UNITEN


Misi kereta solar Uniten berhasil: Kereta solar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Solar Ranger tiba di garisan penamat pada Cabaran Solar Sedunia 2009 di Victoria Square, Adelaide, Australia pada jam 11.40 pagi waktu tempatan, semalam. Ini bermakna Uniten dalam cubaan pertamanya berjaya menamatkan perlumbaan yang disertai 32 pasukan kereta solar dari 15 negara itu. Solar Ranger bergerak dengan kelajuan maksimum 60 kilometer (km) sejam berbanding kelajuan asalnya 110km sejam akibat masalah teknikal sebelum perlumbaan bermula Ahad lalu. Perlumbaan kereta solar sejauh 3,021km merentasi benua Australia bermula dari Darwin ke Adelaide itu dimenangi kereta solar 'Tokai Challenger' dari Jepun yang tiba di garisan penamat Rabu lalu dengan purata kelajuan 100km sejam. - Foto Bernama

//walaupun tidak berjaya memenangi perlumbaan tersebut, tetapi Uniten mampu menamatkannya//

Kereta solar UNITEN lepasi halangan rentas Australia

ADELAIDE 1 Nov. — Kejayaan pasukan kereta solar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menamatkan 3,021 km cabaran solar sedunia merentasi benua Australia “bukan misi biasa”.

Ini kerana pasukan Solar Ranger bermula dengan kerosakan teknikal tidak dijangka dan ia juga penyertaan pertama UNITEN dalam perlumbaan kereta solar daripada Darwin ke Adelaide.

Namun dalam kekurangan itu, Solar Ranger yang asalnya merupakan projek 10 pelajar Kolej Kejuruteraan UNITEN dibantu lima pensyarah mampu mengibar Jalur Gemilang di Victoria Square, Adelaide, dalam masa ditetapkan.

Di bawah terik matahari, Solar Ranger dengan badan tertera logo “1Malaysia"

tiba di Victoria Square yang terletak di tengah-tengah bandar pukul 11.40 pagi semalam, disambut meriah dengan laungan `Malaysia Boleh” oleh rakyat Malaysia yang datang beberapa jam awal.

Sebelum Solar Ranger sampai ke garisan penamat, lebih kurang sedozen kereta solar yang bertanding telah menamatkan cabaran, termasuklah tiga pemenang iaitu Tokai Challenger dari Jepun (tempat pertama), diikuti Nuna5 dari Belanda dan Infinium dari Amerika Syarikat. - Bernama

Go..go..UNITEN boleh!!!


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

 
^ Scroll to Top