Friday 11 September 2009

Definisi Melayu: Pengenalan

Daripada Sejarah Melayu Melaka, Hikayat Hang tuah dan sejarah kerajaan-kerajaan kecil tanah Melayu hingga ke kisah penentangan pejuang kemerdekaan Melayu sama ada di peringkat pra-kemerdekaan, saat-saat kemerdekaan atau pasca kemerdekaan; semuanya mengisahkan tentang survival bangsa. Sebuah bangsa yang kita semua bangga-banggakan. Dinamakan sebagai bangsa MELAYU.

Sebelum kita membincangkan mengenai sejarah bangsa Melayu dengan lebih lanjut, mari kita mencari definisi sebenar kewujudan bangsa Melayu. Menurut perlembagaan Malaysia, seseorang itu boleh digelar sebagai Melayu sekiranya memenuhi kesemua ciri-ciri ini:
• Beragama Islam
• Bertutur dalam bahasa Melayu
• Mengamalkan adat istiadat Melayu

Dengan kata yang mudah, syarat untuk menjadi amat mudah. Sesiapa sahaja yang ingin menjadi orang Melayu hendaklah memenuhi seperti syarat-syarat di atas. Apa kelebihan orang Melayu di sisi perlembagaan sehinggakan mereka mempunyai ciri-ciri khusus seperti yang digariskan dalam perlembagaan? Sudah semestinya mereka mempunyai beberapa kedudukan istimewa yang tidak dimiliki oleh bangsa lain. Apa bukti akan jaminan kepada kedudukan istimewa orang Melayu ini? Jelas sekali dinyatakan dalam kandungan perlembagaan, iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dilambangkan dengan pengekalan kekuasaan Sultan/Raja Melayu di setiap negeri serta Sultan/Raja sendiri menjadi pelindung kepada bangsa Melayu itu sendiri.

Namun begitu, begitu banyak persoalan yang timbul daripada definisi ini. Adakah pedagang luar beragama Islam yang sudah bermastautin bertahun-tahun, mampu bertutur bahasa melayu secara lancar dan telah biasa mengamalkan budaya orang Melayu boleh dianggap sebagai orang Melayu? Kemudian bagaimana pula halnya dengan orang bukan Melayu yang telah biasa bercampur gaul dengan masyarakat Melayu serta mengamalkan cara hidup sebagai masyarakat Melayu tetapi tidak beragama Islam, Melayu atau tidak? Tambahan pula, apa wajah sebenar adat istiadat Melayu?

Entri ini cukup sekadar untuk menimbul persoalan, supaya kita dapat memikirkan telebih dahulu sebelum persolan ini dijawab pada masa akan datang.

No comments:

 
^ Scroll to Top