Sunday 23 August 2009

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) TIDAK BERFUNGSI?


Setiap kali sesi baru bermula, isu politik kampus hangat diperkatakan oleh semua pihak yang berminat mengikuti perkembangan ini.. Bilakah pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau pilihan raya kampus akan diadakan? Golongan manakah yang akan menguasai tampuk kepimpinan kampus? Inilah di antara topik yang hangat diperbualkan di kalangan politikus kampus. Mereka seolah-olah begitu minat terhadap perkembangan politik kampus.

Tapi keghairahan mereka terhadap pilihanraya kampus tak ke mana. Habis pilihanraya mereka pun senyap dengan hal masing-masing kecuali dua tiga 'kerat' sahaja. Apa yang MPP nak buat selepas itu, mereka tak ambil pusing lagi. Tugas mereka memilih MPP telah berakhir (?). Mereka sudah tidak berminat lagi untuk mengetahui, apa peranan MPP diadakan ? Kemanakah perjuangan pelajar hendak dihalakan? Untuk siapakah MPP itu?

Lain sekali di UNITEN! Walau bagaimanapun, post ini tidak mengfokuskan kepada MPP UNITEN (fokus umum) dipetik daripada http://idealis-mahasiswa.net/

Majlis Perwakilan Pelajar sendiri tidak "berhak" mencorakkan perjuangannya dengan lebih terbuka dan bebas kerana boleh diambil tindakan undang-undang bila-bila masa. Seolah-olah mereka lebih senang MPP menjadi golongan "yes man" dari bertindak sebagai "presure group" yang membina atau lebih tepat agaknya kalau kita katakan MPP adalah untuk membantu bahagian Hal Ehwal Pelajar di dalam pentadbiran universiti. Kesannya jadilah MPP sebagai badan penganjur program-program bercorak kebudayaan, sukan dan baktisiswa sahaja.

Apa tidaknya? Mereka ini dikongkong dan tidak dibenarkan bersuara lantang menegur atau mengkritik sesuatu tindakan yang dibuat walaupun tindakan tersebut melanggar undang-undang dan mencabul hak kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh demokrasi. Mereka ini tidak dibenarkan membuat kenyataan akhbar dan bersuara lantang diugut dengan berbagai peraturan.


Apakah ini satu perkembangan yang sihat untuk melahir pemimpin yang berkaliber generasi 2020 atau generasi 1 Malaysia? (walaupun wawasan 2020 dah berakhir...tapi tak pe la) Apa untungnya melahirkan pemimpin
"yes man" kepada pembangunan negara? Apakah tidak mungkin negara akan menuju ke gerbang kehancuran kerana melahirkan pemimpin yang tidak berpendirian, rasuah dan pentingkan diri sendiri. Berbagai lagi persoalan lain yang timbul.


Suatu ketika dulu, pemimpin-pemimpin negara percaya terhadap kemampuan mahasiswa memainkan peranan mereka dalam masyarakat.
Allahyarham Tun Razak pernah menekankan, "sebagai bakal pemimpin, mahasiswa mestilah menggabungkan pelajaran akademik dengan fahaman praktis terhadap kedudukan masyarakat dan negara di mana mereka terlibat."


Dulu pergerakan mahasiswa tidak pernah disekat, kini zaman itu telah berlalu dan menjadi kenangan dalam sejarah perjuangan mahasiswa. Kita tidak nafikan MPP diberikan sedikit suara di dalam perjalanan pentadbiran universiti. Sekurang-kurangnya dapatlah wakil mahasiswa yang dipilih menduduki MPP memberi sedikit pandangan dalam perjalanan universiti tetapi pendapat yang dibenarkan mestilah tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak pentadbiran universiti.


Tanpa disedari sedikit demi sedikit Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) khususnya Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) semakin tidak berperanan. MPP semakin tidak mendapat sokongan. Mahasiswa semakin tidak tahu peranan MPP yang sebenarnya. Pemimpin MPP yang dipilih seharusnya menyedari kehendak mahasiswa dan keadaan semasa. Pemimpin mahasiswa tidak seharusnya bertindak mengikut masa dan
"carbon copy" sahaja.


Mereka tidak perlu takut untuk melakukan reformasi dan mencuba beberapa pendekatan baru bagi mengembalikan keunggulan MPP sebagaimana peranannya di zaman silam. Beberapa langkah perlu diambil oleh pemimpin mahasiswa kini khususnya yang terlibat dalam MPP untuk mendekatkan kembali mahasiswa dengan MPP.

Tuesday 18 August 2009

Tentang UNITEN versi I


Falsafah dan Misi UNITEN



Ciri-ciri utama falsafah UNITEN ialah mempertingkatkan martabat manusia sejajar dengan peranannya sebagai pemegang amanah Yang Maha Esa ke atas segala ciptaanNya; berusaha ke arah kecemerlangan yang bertaraf dunia; menghormati ilmu pengetahuan; kesepaduan peningkatan intelek melalui peningkatan ilmu, peningkatan rohani, jasmani dan keimanan kepada yang Maha Esa; dan harmoni di kalangan insan daripada pelbagai budaya dan latar belakang. Falsafah ini menjadi asas kepada semua aktiviti universiti

UNITEN adalah institusi yang dihasratkan untuk menyedia dan mengeluarkan golongan profesional, cendekiawan, dan pakar yang boleh memberi kepimpinan serta mampu menjadi pemangkin ke arah pembangunan dan pembaharuan untuk kesejahteraan sejagat. Untuk memenuhi misi ini, UNITEN akan berkhidmat kepada masyarakat sebagai institusi pengajian tinggi swasta yang mengadakan pendidikan, penyelidikan, perkhidmatan perundingan dan latihan, terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan bisnes, serta memainkan peranan menambahkan bilangan tenaga manusia di Malaysia dan negara-negara membangun pada peringkat profesional, separa profesional dan pekerja mahir.

Bagi menjayakan misi ini UNITEN akan beroperasi berpandukan kepada empat ciri utama.

Pertama, universiti kejuruteraan yang menawarkan juga program-program akademik dalam bidang pengurusan bisnes. Konsep ini bermatlamat untuk memenuhi keperluan sumber manusia negara yang sedang mengalami perkembangan ekonomi dan industri yang pesat. Negara memerlukan jurutera dan tenaga kerja profesional bisnes untuk program industrialisasinya. Program pengurusan bisnes ditawarkan juga kerana ilmu kejuruteraan perlu dipergunakan dengan mengambil kira aspek-aspek bisnes. Penawaran program-program ini akan mencerminkan realiti alam kerjaya jurutera pada amnya. Fokus terhadap dua bidang ini akan mengurangkan pertindihan dengan universiti-universiti tempatan dan akan memudahkan pencapaian wawasan UNITEN untuk menjadi universiti bertaraf dunia yang unggul


Kedua universiti yang menggabungkan ilmiah dan latihan. Program akademik UNITEN memberi penekanan yang sama berat kepada teori dan amali. Dengan kemudahan peralatan latihan yang tersedia pelajar didedah lebih awal kepada aspek-aspek praktikal bidang pengajian mereka. Pendekatan demikian boleh dimanfaatkan oleh pelajar dari segi pendedahan kepada peralatan dan amalan industri yang realistik di samping memantapkan pelatih dengan asas-asas teoritikal yang kukuh.

Ketiga, universiti dalam persekitaran industri dan korporat. TNB adalah sebuah badan korporat yang mempunyai kepentingan kejuruteraan dan komersil yang ekstensif. TNB akan memainkan peranan mendedahkan pelajar kepada amalan-amalan kejuruteraan dan suasana bisnes secara proaktif. Antaranya, latihan praktikal kepada bakal jurutera, bakal akauntan dan bakal tenaga kerja profesional yang lain. Dengan itu, pengetahuan terus di bidang-bidang berkenaan di dalam industri dapat dimanfaatkan kepada pelajar. Suasana pembelajaran yang demikian boleh menjadikan graduan yang dikeluarkan lebih bersedia apabila mula memasuki profesion masing-masing di samping mempunyai ilmu dan pengalaman yang relevan dan terkini.

Keempat, universiti dengan pelajar dari dalam dan luar negara. Selaras dengan hasrat kerajaan supaya negara menjadi pengeksport pendidikan tinggi di rantau ini, UNITEN berhasrat untuk menarik pelajar-pelajar dari dalam dan luar negara. UNITEN berharap sepuluh peratus daripada pelajarnya terdiri dari pelajar luar negara. Dengan adanya pelajar-pelajar daripada berbilang negara dan budaya, pembelajaran pelajar-pelajar akan menjadi lebih berkesan. Untuk menarik kemasukan pelajar dari negara asing kurikulum program yang ditawarkan perlu sesuai dengan keperluan antarabangsa. Ini termasuklah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di samping memberi keutamaan yang setimpal kepada Bahasa Melayu.


Tentang Kampus



Mulai 1 haribulan September 1997, UNITEN tidak lagi beroperasi sebagai sebuah jabatan TNB, sebaliknya ia beroperasi sebagai sebuah anak syarikat milik penuh TNB yang dinamakan Universiti Tenaga Nasional Sdn. Bhd. Ianya diletakkan di bawah Lembaga Pengarah dengan Pengerusi Eksekutif TNB Datuk Dr. Ahmad Tajuddin bin Ali sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tenaga Nasional Sdn. Bhd. sementara Dr. Tajol Arus bin Noh dilantik sebagai Rektor pertama dan Y.M. Engku Hashim El-Edrus sebagai Timbalan Rektor.


Pembelajaran di UNITEN



Universiti sebagai sebuah pusat pengajian tinggi merupakan adalah sebahagian daripada milik masyarakat. Oleh itu universiti tidaklah harus memisahkan diri serta terasing dari cita-cita masyarakat dan juga kemajuan negara sebagaimana yang terkandung dalam falsafah pelajaran. Untuk mencapai tujuan ini, universiti hendaklah bertapak dan mengikatkan diri kepada kebudayaan, negara dan masyarakatnya sendiri. Hal ini adalah bersesuaian dengan peranan universiti sebagai satu pusat melahirkan idea-idea baru bagi menyelesaikan masalah sosial, ekonomi dan politik yang timbul di negaranya. Dengan ini sesebuah universiti dapat dikatakan berjaya menjadikan dirinya bersesuaian dengan kehendak serta aspirasi masyarakat dan negara.

UNITEN komited dengan undang-undang pendidikan yang telah digubal oleh Parlimen. Undang-undang, pendidikan bertujuan untuk melahirkan warganegara yang mampu membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Melahirkan sebuah masyarakat yang bebas, teguh dan mempunyai keyakinan diri. Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh moral dan etikanya, dan utuh nilai keagamaannya, berbudi dan berbudaya penyayang, matang dan bersifat toleransi. Menjadikan masyarakat yang berasaskan sains, budaya cipta, penyumbang kepada peradaban sains dan teknologi; serta pembentukan sebuah masyarakat yang adil ekonominya. Tujuan undang-undang pendidikan ini adalah selaras dengan aspirasi negara dan Wawasan 2020. Pembangunan fizikal dan akademik UNITEN adalah selaras dengan komitmen yang dipertanggungjawabkan iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak, seimbang dan harmonis.

Setiap negara berhasrat untuk mewujudkan `Civil Society' dan `Good Governance' di samping memenuhi keperluan tenaga manusia khasnya dalam bidang sains dan teknologi. UNITEN menyedari tanggungjawab ini malah sejak pengenalan sistem pendidikan berkembar IKATAN, kursus pendidikan agama Islam, Pendidikan Moral, Pengajian Malaysia, Agama Perbandingan, Tamadun dan Falsafah telah diperkenalkan. Langkah yang diamalkan ini adalah lebih awal dari penubuhan Lembaga Akreditasi Negara yang memperkenalkan beberapa dari kursus ini sebagai kursus-kursus wajib dan sebagai prasyarat kelayakan kepada penganugerahan ijazah atau diploma. Kini sesuai dengan kehendak Kementerian Pendidikan, UNITEN berusaha mempertingkatkan lagi kursus-kursus dan ko-kurikulum yang bermatlamatkan untuk melahirkan akauntan dan jurutera yang patriotik, berpengetahuan global, berakhlak mulia, pemikiran yang liberal, dan mempunyai kesedaran tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Sesuai dengan harapan kerajaan UNITEN telah menggunakan konsep pembelajaran ilmu yang `specialised' dan pembinaan insan. Dengan ini ia akan dapat melahirkan individu yang mampu menghadapi cabaran ekonomi dan teknologi baru tanpa membelakangkan unsur pengukuhan spiritual dan budaya bangsa. Dalam mengejar kecemerlangan ilmu, pelajar harus disemaikan rasa tanggungjawab terhadap dirinya, terhadap tuntutan agama dan masyarakat. Dengan itu perancangan kurikulum akademik, perancangan ko-kurikulum, dan pembangunan prasarana kesemuanya menyumbang ke arah pencapaian pembelajaran ilmu yang specialized dan pembinaan insan yang beriman.

UNITEN mengambil pendekatan untuk memberi pendidikan yang menyeluruh kepada pelajar-pelajar dengan mewajibkan pelajar mengambil kursus yang bukan teknikal yang bersesuaian untuk tujuan pembinaan sahsiah diri, meningkatkan daya intelek, meluaskan skop pemikiran serta mewujudkan budaya ilmu. Setiap pelajar harus mengambil kepada subjek-subjek kemanusiaan, sains sosial dan keagamaan selain daripada subjek-subjek yang teras kepada sesuatu program. Pendekatan saintifik dan ilmiah disampaikan kepada pelajar dengan harapan ia akan dapat membentuk sikap hidup yang positif dan sempurna, bersedia menerima segala tanggungjawab terhadap masyarakat dan memberikan sumbangan kepada masyarakat itu. Universiti ini terlibat dalam mengkaji dan membangunkan watak bangsa dan kebudayaan Malaysia. Sistem pembelajaran yang terdapat di UNITEN ini adalah teristimewa berbanding dengan kebanyakan institusi-institusi swasta yang lain. Pembelajaran di institusi berkenaan semata-mata menumpukan kepada peperiksaan. Strategi mereka adalah memperolehi ijazah dengan kos yang minima. Namun demikian, walaupun ajaaran pengajian di institusi-institusi berkenaan adalah lebih rendah berbanding dengan yuran pengajian di UNITEN, ibu bapa dan badan-badan penganjur yang prihatin terhadap sistem pembelajaran yang terdapat di UNITEN tentulah membuat ukuran yang praktikal apabila hendak menentukan ke institusi mana pelajar-pelajar mereka harus dihantar.

UNITEN kini mengambil langkah-langkah untuk memantapkan diri sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan. Program-program akademik semakin diperluas selari dengan komitmennya untuk memenuhi keperluan negara dan juga negara luar yang memandang kepada Malaysia sebagai destinasi untuk mendapatkan pelajaran tinggi.


 
^ Scroll to Top